5 Hadis Mesra Alam Gaya Rasulullah S.A.W

Bulan Rabiul Awwal sentiasa istimewa pada umat Islam. Walaupun ingatan kita kepada Rasulullah S.A.W tiada batasan waktu tertentu, namun Rabiul Awwal seperti taman istimewa untuk kita kembali menikmati keindahan warna-warna kegemilangan Nabi S.A.W serta haruman akhlak baginda yang menghidupkan setiap aspek kehidupan seseorang Muslim. Salah satu aspek yang jarang disebut ialah sifat Rasulullah S.A.W yang sangat mesra dengan alam sekitar.

Ketika pemimpin dunia sibuk mencari penyelesaian kepada masalah alam sekitar seperti pemanasan global, pencemaran dan kerosakan ekosistem, Rasulullah S.A.W lebih awal menerapkan akhlak mesra alam yang sangat mampan. Beliau memilih jalan mendidik dengan akhlak dan teladan. Baginda membawa ummah kepada sistem akhlak mencegah, buka mengubati.

Akhlak mesra alam yang diterapkan baginda menjawab hampir semua sumber utama masalah alam sekitar, iaitu pembaziran, pencemaran dan eksploitasi alam. Andai sifat yang diterapkan oleh Rasulullah S.A.W ini diguna pakai dengan sistematik dalam kehidupan, manusia akan lebih bersikap adil dalam penggunaan sumber alam, mengurus alam dengan seimbang dan mengutamakan ilmu dalam mendidik kesedaran ummah terhadap konsep khalifah dalam mengurus bumi.

Nabi S.A.W membina asas kefahaman ini berdasarkan teladan yang beliau sendiri lakukan. Sebahagian besar hadis yang dicatakan membawa kita kepada pembinaan sifat mulia, iaitu mencintai, memelihara dan mengurus alam dengan adil dan seimbang.

1. Jabir (r.anhu) meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda: Tidaklah seorang muslim menanam suatu pohon melainkan apa yang dimakan dari tanaman itu sebagai sedekah baginya, dan apa yang dicuri dari tanaman tersebut sebagai sedekah baginya dan tidaklah kepunyaan seorang itu dikurangi melainkan menjadi sedekah baginya. (Sahih al-Bukhari)

Kita perlu berinteraksi dengan alam sekitar secara adil. Setiap yang ada di alam ini sama ada tumbuhan, haiwan dan manusia, mempunyai hak dan keperluan tersendiri. Memenuhi hak dan keperluan makhluk-makhluk Allah juga merupakan ibadah dalam Islam. Mengurus sumber alam dengan baik adalah dengan mengembalikan hak kepada semua penghuni bumi merupakan sifat asas yang ditanam oleh Nabi S.A.W kepada kita.

Fakta: Dengan anggaran purata hayat sebatang pokok selama 50 tahun, sebatang pokok melepaskan 2,700 kg oksigen sepanjang hayatnya. Satu sumbangan yang sangat besar untuk manusia.

2. Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala. (Sahih al-Bukhari)

Urusan manusia dengan alam tidak pernah terhenti. Rasulullah S.A.W mendidik ummahnya untuk berkhidmat pada alam pada bila-bila masa. Kita masih belum terlambat untuk memperbaiki kesilapan kita terhadap alam ini. Lakukan sesuatu, bertindak sekarang.

Fakta: Setiap 2 saat, hutan seluas padang bola sepak sedang dimusnahkan. Sehingga kini hampir 80% hutan asal bumi telah musnah.

3. Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah melintasi Saad yang sedang berwudhu, lalu Baginda bertanya: “Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad?” Saad bertanya: “Apakah di dalam wudhu juga ada istilah berlebih-lebihan?” Baginda menjawab: “Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini sangat jelas menekankan sifat cermat dan tidak membazir seorang muslim, biarpun kita sedang membuat suatu kebajikan. Bersederhana dan berjimat-cermat ialah sifat paling penting yang Nabi S.A.W cuba tanamkan dalam keperibadian setiap umatnya. Penggunaan sumber alam secara berlebihan ialah masalah utama dalam pelbagai isu alam yang kita hadapi pada hari ini.

Fakta: 663 juta penduduk, iaitu seorang dalam setiap sepuluh orang menghadapi masalah mendapatkan air bersih dan 2.4 billion penduduk, iaitu seorang dari setiap tiga orang tidak mempunyai akses kepada tandas.

4. Abu Hurairah dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Sungguh, aku telah melihat seorang laki-laki yang tengah menikmati kenikmatan di surga disebabkan ia memotong duri yang berada di tengah jalan, yang duri itu mengganggu kaum muslimin.” (Sahih al-Bukhari)

Memastikan bumi ini bersih dari segala kekotoran yang boleh membahayakan manusia lain ialah sifat yang sangat terpuji. Ini merupakan didikan Nabi S.A.W kepada ummah supaya sentiasa sensitif dengan kebersihan walaupun sampah yang kecil. Bumi yang didiami harus bersih kerana ia merupakan amanah Allah.

Fakta: Ada sekitar 500 juta kenderaan di seluruh dunia pada saat ini dan akan bertambah kepada 1 bilion menjelang 2030. Ini menunjukkan pencemaran yang disumbang oleh kenderaan akan meningkat 2 kali ganda dalam tempoh 15 tahun.

5. Isteri Rasulullah S.A.W, Aisyah meriwayatkan; Rasulullah biasa membaiki kasutnya sendiri, menjahit bajunya sendiri dan membantu kerja-kerja rumah tanpa sebarang komplen (Imam at-Tirmizi)

Rasulullah S.A.W secara tidak langsung mengajar umatnya kaedah ‘Reduce, Reuse, Recycle’. Kurangkan membeli produk-produk tanpa keperluan dengan membaiki yang sedia ada. Membantu kerja rumah adalah bentuk pengagihan kerja dan tenaga yang efisien. Rasulullah S.A.W menunjukkan satu teladan yang hebat, iaitu sifat rajin secara umum dapat mengurangkan pembaziran dan sekali gus membentuk peribadi unggul. Dengan mengurangkan penggunaan sumber, alam akan dapat diurus dengan lebih baik dan berkesan.

Fakta: Populasi US adalah 5% dari penduduk dunia tetapi menggunakan hampir 30% sumber bumi. Jika semua negara mempunyai peratusan pengunaan sumber bumi sama seperti US, kita memerlukan 3 planet bumi untuk memenuhi keperluan tersebut.