Apa Yang Anda Faham Dengan TPPA?

Negara gempar apabila portal-portal berita antarabangsa melaporkan pada 5 Oktober 2015 bahawa Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) telah dipersetujui secara prinsip oleh kesemua 12 negara yang terlibat dengan perundingan ini, termasuk Malaysia. Namun, setiap negara (termasuk Amerika Syarikat) perlu mendapatkan pula persetujuan daripada badan legislatif negara masing-masing. Dalam konteks Malaysia, kandungan TPPA ini perlulah dibincangkan dan diluluskan Parlimen, sepertimana yang dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bertarikh 5 Oktober 2015.

Masalah utama dengan perundingan TPPA ini adalah kandungannya yang dirahsiakan kepada umum kerana kesemua pihak yang berunding terikat dengan Perjanjian Kerahsiaan – Confidentiality Agreement yang menyukarkan analisis impak ekonomi dan kebajikan sosial terhadap negara terlibat dilakukan. Namun, beberapa tahun lepas, beberapa kandungan deraf perbincangan TPPA mengenai pelaburan dan harta intelek (intellectual property) telah dibocorkan dan mengakibatkan perbincangan hangat di Malaysia mengenai kemungkinan impak TPPA terhadap negara ini.

PAS umumnya dan Professional Istiqamah khususnya mengikuti dengan rapat perkembangan semasa isu TPPA.

Apakah yang telah kita sedia ketahui dengan TPPA?

1) SEJARAH
Pada tahun 2006, 4 negara iaitu Brunei, Chile, Singapura dan New Zealand telah bersetuju memeterai Trans-Pacific Strategic Economic Partnership Agreement, yang kemudiaannya diikuti 8 negara lain.

2) NEGARA TERLIBAT (12 NEGARA)
Brunei, Chile, Singapura, New Zealand, Amerika Syarikat, Australia, Vietnam, Peru, Malaysia, Kanada, Mexico dan Jepun.

3) KUASA EKONOMI
Negara-negara yang berunding dalam TPPA ini merangkumi hampir dua perlima (2/5) daripada ekonomi global dan dijangka dapat memberi saingan kepada blok ekonomi yang dipelopori China.

4) POTENSI MANFAAT KEPADA MALAYSIA
Melalui TPPA, secara teori, Malaysia berpotensi mencapai akses kepada lebih 800 juta populasi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tergabung mencecah US$27.5 trillion. Para peniaga Malaysia, khususnya yang terlibat dalam dagangan eksport dijangka menikmati duti import yang lebih rendah antara negara ahli seterusnya berpotensi meningkatkan jualan eksport mereka.

Di peringkat negara pula, perkembangan eksport dijangka akan meningkatkan KDNK Malaysia. Menurut kajian daripada Peterson Institute for International Economics, Malaysia dijangka akan menikmati sehingga US$41.7 billion pertambahan eksport menjelang tahun 2025, jika Malaysia kekal dalam pakatan ekonomi gergasi ini.

5) POTENSI IMPAK NEGATIF KEPADA MALAYSIA
a) Akses Kepada Ubat-ubatan Terhad
Dalam satu dokumen yang dibocorkan WikiLeaks, bab harta intelek, dinyatakan salah satu syarat perjanjian TPPA adalah negara ahli perlulah memelihara paten ubat-ubatan termasuk tempoh paten dilanjutkan dengan syarat yang cukup longgar. Ini berpotensi mengakibatkan rakyat Malaysia terpaksa membayar kos perubatan yang jauh lebih mahal, sebelum ubat generik boleh menembusi pasaran selepas satu tempoh yang ditetapkan.

b) Ancaman kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
Dengan termeterainya TPPA, syarikat-syarikat gergasi terutamanya daripada Amerika Syarikat dan Jepun berpotensi memasarkan produk mereka di Malaysia dengan kawalan yang longgar dan harga yang kompetitif, seterusnya berpotensi mengancam pengusaha IKS yang rata-ratanya golongan Bumiputera.

c) Ancaman Terhadap Kedaulatan Negara
Di dalam satu dokumen yang dibocorkan WikiLeaks bertarikh 26 Mac 2015 yang menyentuh bab Pelaburan, TPPA membolehkan syarikat negara ahli untuk menyaman mana-mana kerajaan dalam pakatan TPPA ini di atas kerugian mereka yang disebabkan polisi kerajaan. Ini seterusnya menyukarkan pelaksanaan polisi-polisi yang bermanfaat kepada rakyat, jika ia bertentangan dengan polisi mesra pelabur luar.

apa yang anda faham dengan tppa infografik

KONKLUSI
Perbincangan mengenai TPPA memang hangat diperkatakan, apatah lagi di media sosial dan portal-portal berita. Terdapat banyak perkara adalah bersifat tuduhan dan anggapan semata-mata tanpa asas, di mana kami tidak sertakan dalam tulisan ini. Kami cuba secara adil meneliti kesan baik dan buruk TPPA ini kepada rakyat Malaysia berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh. Maklumat umum yang terhad juga menyukarkan analisis yang adil dilaksanakan.

Proses kelulusan seterusnya dalam konteks Malaysia adalah melalui Parlimen kerana dijangka deraf penuh TPPA yang telah dipersetujui kesemua negara ahli dibentangkan dan analisis lebih adil dapat dilaksanakan.

Kami berpandangan kerajaan wajib mengutamakan kepentingan negara dan rakyat Malaysia. Jika telah terbukti TPPA yang akan dibentangkan ini mencabuli prinsip perlembagaan Malaysia serta merobek ekonomi dan kebajikan sosial rakyat Malaysia semata-mata untuk memenuhi kehendak kuasa asing, maka, semua pihak perlu berkeras agar TPPA ditolak untuk kebaikan rakyat dan negara.