Jutaan Wang Biaya Pelajar Luar Negara: Apa Hasil Kepada Negara?

Saya teringat sewaktu saya masih pelajar perubatan dan membuat elektif di salah sebuah hospital di Selangor. Pada hari pertama, ada seorang doktor MO yang bawa saya melawat wad dan perkenalkan saya kepada sistem di jabatan tersebut. Tanpa saya berkata atau bertanya apa-apa, MO tersebut kata “Awak study UK kan? Haaa dah balik Malaysia ni, buat cara Malaysia. Jangan nak eksyen dan tunjuk bagus yang awak tu belajar UK”. Unfortunately, that MO was neither the first nor the last to make such comments.

Kadang-kadang, saya tertanya-tanya juga, berapa ramai doktor-doktor junior graduan luar negara tajaan kerajaan Malaysia yang dilayan sebegitu. Apabila disuruh ‘ikut saja’ dan ‘go with the flow’ atau ‘jangan tunjuk bagus’, maka apakah kebaikan yang dapat dirasai oleh rakyat yang membiayai mereka untuk belajar di luar negara? Saya tidak bercakap mengenai kecekapan, kemahiran mahupun ilmu pengetahuan mereka untuk merawat pesakit. Semua itu tidak perlu belajar di luar negara. Doktor-doktor graduan tempatan juga sangat hebat dan bagus. Maka, apa bezanya doktor graduan luar negara dan graduan tempatan?

Bayangkan, jumlah biayaan yang ditampung oleh penaja seperti JPA atau MARA untuk SEORANG pelajar perubatan di UK dan Ireland dalam tempoh 5-6 tahun mencecah RM1,000,000. Bayangkan berapa ribu pelajar yang sudah dan masih ditaja oleh kerajaan Malaysia dalam tempoh 20 tahun? Berapa billion Ringgit Malaysia telah dilaburkan untuk itu? Dan satu persoalan yang sangat penting untuk difikirkan; adakah kualiti perkhidmatan kesihatan pada hari ini berbaloi dengan pelaburan billion ringgit itu?

Saya tertanya-tanya juga, ada atau tidak doktor-doktor senior (eg: ketua jabatan atau Specialist) yang mendekati doktor-doktor graduan luar negara dan bertanya apa kebaikan yang mereka dapat daripada sistem di luar negara dan bagaimana ianya boleh memperbaiki sistem di jabatan, Klinik kesihatan atau hospital? Mungkin ada tapi saya jangka, sangat-sangat sedikit.

Terkadang saya rasa agak sedih apabila saya berkongsi dan mencadangkan satu penambahbaikan yang boleh cuba dibawa di Malaysia tetapi apa yang saya dapat daripada rakan-rakan doktor di Malaysia hanyalah “Mimpi sajalah..” “Oh Malaysia masih terlalu jauh untuk itu..” “Kita tidak mampu..”. Ya, mungkin saya tidak berada di ‘alam realiti’. Tetapi patutkah kita hanya perlu akur sahaja dengan keadaan yang ada? Apakah hanya sia-sia sahaja pelaburan kerajaan sebanyak berbillion ringgit itu?
Ketahuilah, tidak semua perkara berkenaan sistem kesihatan di UK adalah baik. National Health Service (NHS) di UK adalah di ambang kejatuhan. Ramai doktor-doktor dari UK yang berhijrah ke negara lain. Tetapi saya melihat dengan mata saya sendiri bagaimana perubahan ke arah kebaikan itu adalah tidak mustahil dan satu perkara yang ada pada doktor-doktor di UK adalah SIKAP kebanyakan mereka yang sentiasa ingin berubah ke arah yang lebih baik. Muhasabah/Reflection adalah antara sifat penting yang diterapkan di kalangan doktor di sini. “What do I do wrong?”. “How can I improve my performance and service?”. “How can I do better?”. “How/What can I learn from my mistake?”.

Saya teringat kata-kata seorang Anaesthetist Consultant (Pakar Bius), “Yes, during my time, it was worse than what you have today but that doesn’t mean that you can’t have something better. And I am here to help you and the future doctors”. Pakar Bius ini bukan sahaja kerja di OT atau ICU sahaja tetapi beliau juga turut terlibat dengan kursus Professionalisma, Fitness to Practice dan kursus komunikasi untuk para doktor-doktor pelatih (dan juga kursus untuk doktor-doktar pakar!)

Sebelum kita pergi jauh kepada kesediaan rakyat untuk berubah, (dan sebelum tampuk pimpinan kerajaan bertukar kepada orang yang lebih baik), mungkin tidak salah kalau saya katakan bahawa doktor-doktor yang ada sekarang perlu berubah SIKAP terlebih dahulu dan buang segala sifat ego, dengki, senioriti dan sebagainya yang menghalang kepada penambahbaikan sistem kesihatan di Malaysia. Janganlah kerana “Zaman aku houseman dulu lagi teruk, maka kau patut bersyukur tak seteruk dulu!”. Itu bukanlah ciri-ciri pemikiran masyarakat yang maju, jauh sekali daripada ajaran Islam.


Dr Rushdina Sofia Abdul Rashid merupakan seorang doktor yang sedang mengikuti latihan kedoktoran di UK dan terus istiqamah bersama PAS. Dalam proses mempersiapkan generasi kemenangan, beliau berharap agar pimpinan PAS dapat memanfaatkan tenaga profesional dari bidang kesihatan yang ada di dalam PAS untuk menyediakan sistem sokongan yang sepatutnya sebagaimana yang ditulis di atas sekaligus menyumbang ke arah membina Malaysia yang sejahtera!