Kegilaan Apakah Ini?

“Engkau tengok budak tu, macam tak betul jek”

“Orang gila tu, jangan dekat sangat! Nanti berjangkit!”

“Sanggup kau kata anak aku orang gila!” marah seorang ibu yang mempunyai anak OKU kepada keluarganya.

Ini antara perkara yang kita dengar apabila masyarakat merujuk kepada mereka yang mempunyai masalah mental. Kesihatan mental merupakan sesuatu yang asing untuk dibincangkan di kalangan masyarakat kita. Apabila kita merujuk kepada ‘kegilaan’ atau ‘madness’, kebanyakan kita terbayang mereka yang tidak terurus, berpakaian serabai dan berkelakuan pelik terutamanya di khalayak ramai seperti ‘bercakap sorang-sorang’, menjerit dan marah-marah tanpa sebab.

Persepsi masyarakat kita terhadap penyakit ‘gila’ sebagai sesuatu yang hina dan jijik menyebabkan mereka yang mengalami masalah tersebut berasa malu untuk mendapatkan rawatan sedangkan hakikatnya penyakit mental tidak ada bezanya dengan penyakit fizikal yang lain. Dari segi fisiologi saraf, kajian menunjukkan terdapat perubahan kimia di dalam otak yang menyebabkan seseorang mengalami masalah mental seperti psikosis.

Di dalam kesihatan mental, salah satu penyakit mental yang boleh membawa kepada keadaan ‘gila’ atau hilang pertimbangan dan kawalan diri adalah penyakit psikosis (skizofrenia). Pesakit yang mengalami psikosis mempunyai beberapa simptom seperti berikut:

1. Mempercayai sesuatu yang tidak benar (delusion) seperti mempercayai yang mereka sedang diburu oleh polis atau sesuatu yang langsung tidak masuk akal seperti mempercayai yang pihak polis telah menanam microchip di dalam otak mereka untuk mengawal mereka. Mereka percaya perkara tersebut benar-benar berlaku walaupun ahli keluarga atau kawan mereka cuba mempertikaikan kepercayaan tersebut. Kebiasaanya kepercayaan ini adalah bersifat paranoia dan menyebabkan perubahan kelakuan dan menyebabkan mereka tidak dapat berfungsi di dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh mereka mengurung diri di dalam rumah kerana takut mereka sedang diburu, mereka tidak dapat tidur malam kerana sentiasa berjaga-jaga kerana takutkan pihak yang cuba memasuki rumah dan mencederakan mereka.

2. Mereka mendengar suara atau bunyi yang orang lain tidak dengar (hallucination). Contohnya apabila mereka dilihat berbual atau bercakap sendiri kerana cuba memberi respons kepada suara-suara tersebut. Perlu diingati yang suara ini sangat lain daripada suara ‘monolog diri’ atau ‘di dalam kepala’ yang kebanyakan kita alami. Mereka yang mengalami halusinasi biasanya mendengar beberapa suara pada masa yang sama, suara samada lelaki ataupun perempuan, kadangkala suara yang mereka kenal, dan suara ini sama kualitinya seperti seolah-olah seseorang sedang bercakap berdekatan anda. Lebih menakutkan suara-suara ini bercakap sesama sendiri dan memberi komen mereka terhadap perlakuan dan apa yang difikirkan oleh pesakit berkenaan. Bayangkan suara-suara ini menjerit di waktu malam dan mengejutkan mereka daripada tidur. Suara-suara ini biasanya bersifat agresif dan kritikal terhadap pesakit yang boleh membawa kemurungan.

3. Permasalahan dalam proses pemikiran (thought disorder). Sebagai contoh, pesakit mempunyai masalah fokus, komunikasi dan kognitif. Kebiasaannya, mereka dalam keadaan keliru dan sukar untuk fokus menyebabkan mereka tidak mampu fungsi sebagai seorang pelajar, pekerja, malah dalam perkara asas seperti pengurusan diri.

Psikosis adalah satu penyakit yang boleh dirawat dan tidak bersifat kekal. Mereka yang menerima rawatan kebanyakannya dapat meneruskan hidup mereka kembali ke sedia kala selepas pulih. Tidak ada beza antara pesakit mental dan pesakit fizikal yang lain. Sebagai masyarakat kita perlulah cakna tentang kesihatan mental dan bagaimana ia memberi kesan kepada mereka yang mengalaminya. Janganlah disebabkan oleh kelemahan ilmu pengetahuan kita mengenai sesuatu perkara membina persepsi yang tidak adil terhadap pesakit mental.

Apabila kita lebih cakna tentang kesihatan mental maka kita akan lebih memahami dan simpati terhadap mereka yang diberikan ujian tersebut.
Penulis merupakan seorang pakar psikiatri yang sedang menghabiskan latihan sub-specialty di luar negara.

Sebarang persoalan/kemusykilan/isu boleh dikemukakan di bahagian komen atau pm admin Professional Istiqamah.