Kemurungan dan Stigma Masyarakat Malaysia

“Just jump n stop being dramatic. N wanting ppl to beg u not to do it. Just do it if in the first place it was your intention. U dint reach your 2015 resolution.“
“To me, just ignore n encourage him to jump. Waste of resources.”

Ini adalah di antara komen oleh warga internet terhadap video yang diterbitkan oleh Malaysiakini (KiniTV) pada 31 Disember 2015 yang bertajuk “Suicide attempt at Penang Bridge ends after hour-long standoff”.

Video ini mengisahkan bagaimana pihak bomba telah berkerja keras selama sejam dan kesudahannya berjaya memujuk seorang lelaki yang cuba membunuh diri di jambatan Pulau Pinang. Kebiasaan kes cubaan membunuh diri, mereka akan dibawa oleh pihak polis atau bomba ke hospital bagi mendapatkan rawatan psikiatri. Ini adalah salah satu ‘bread and butter’ kami sebagai pakar psikiatri iaitu membuat penilaian dan merawat kes-kes cubaan membunuh diri terutamanya apabila disebabkan oleh penyakit mental seperti kemurungan (depression) dan psikosis.

Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah realiti sebahagian masyarakat Malaysia yang masih kurang pemahaman mengenai hubungan antara kesihatan mental (terutamanya kemurungan) dan cubaan membunuh diri (suicide attempt). Dua peratus (2%) daripada jumlah kematian adalah disebabkan bunuh diri. Apabila dirujuk kes sebegini, amat memeranjatkan bahawa sebenarnya dua daripada tiga orang telahpun berjumpa dengan doktor dalam tempoh sebulan sebelum mereka cuba membunuh diri.

Kemurungan adalah antara faktor tertinggi penyebab kes bunuh diri. Ia merupakan satu penyakit yang boleh dialami oleh sesiapa pun. Bayangkan, statistik menjangkakan seramai satu daripada sepuluh orang (1 in10) akan mengalami satu episod kemurungan sepanjang hidup mereka.

Walaupun penyakit mental tidak dapat dilihat secara fizikal, tidak ada beza di antara penyakit kemurungan jika dibandingkan dengan penyakit lain seperti buah pinggang, kencing manis atau sakit jantung. Mereka yang mengalami kemurungan boleh dipulihkan sepenuhnya jika mereka mendapat akses kepada rawatan yang sepatutnya. Maka, sebahagian daripada kes bunuh diri boleh dielakkan jika mereka mendapat rawatan awal.

Dengan yang demikian, saya di sini menyeru kepada para pembaca untuk lebih cakna mengenai kesihatan mental dan bagaimana ia boleh menjejaskan seseorang. Apalagi pada zaman serba mencabar kini dengan ramai mengalami kesempitan hidup dan pegangan agama yang lemah.

Jika ada pembaca yang mengalami kemurungan dan masih teragak-agak untuk mendapatkan bantuan, saya menyeru untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan penilaian dan rawatan. Bagi pembaca yang mengenali mereka yang mungkin mengalami kemurungan, anda sebagai kenalan perlulah memainkan peranan untuk membantu dan memberi sokongan kepada mereka. Dapatkanlah rawatan sebelum terlambat.

Sebagai penutup, saya ingin menekankan bahawa sikap tidak endah kita mengenai kemurungan menyebabkan salah tanggapan oleh masyarakat awam, termasuk juga para doktor, bahawa kemurungan hanyalah disebabkan oleh kelemahan individu.

Ini berkemungkinan memberi stigma kepada mereka yang menghidapinya dan menyebabkan mereka enggan untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

*Penulis ialah seorang pakar psikiatri yang sedang menghabiskan latihan sub-kepakaran di Ireland. Beliau mengharapkan masyarakat Malaysia lebih cakna dengan kesihatan mental dan stigma sebagai pesakit mental dapat dihindari, dalam memperjuangkan nasib mereka ini.