Mengapa Susu Ibu Cukup Bermakna?

Baru-baru ini, isu menyusukan anak di tempat awam mendapat sambutan hangat di media sosial. Bagi menyahut seruan ‘Membina Malaysia Sejahtera’, eloklah peluang ini kita manfaatkan untuk memberi didikan dan pendedahan kepada masyarakat mengenai peri penting dan kelebihan susu ibu.

Susu ibu bukanlah perkara yang asing dalam tradisi Islam dan ketamadunan manusia. Bahkan ianya ada disebut beberapa kali dalam Al Quran dan juga sirah Nabi. Hari ini, kemajuan ilmu perubatan dan kesihatan telah mengakui akan kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam susu ibu.

Mengapa susu ibu?

Ianya mengandungi kandungan nutrisi yang optimum untuk bayi terutamanya ketika 6 bulan pertama usia. Ia amat mudah dihadam berbanding susu formula dan lebih mengkagumkan, kandungan nutrisi susu ibu juga berubah-ubah mengikut masa, persekitaran dan juga usia bayi, cukup sesuai untuk membantu pembesaran fizikal dan mental bayi. Suhunya juga sentiasa optima untuk bayi. Tidak perlu bertungkus lumus menyediakan air suam atau mengeluarkan wang membeli ‘bottle warmer’ dan ‘sterilizer’.

Susu ibu membantu imuniti bayi. Selain nutrisi, kandungan susu ibu juga kaya dengan antibodi yang membantu imuniti bayi. Bayi amat memerlukan sokongan imuniti bagi melindungi mereka dari jangkitan kuman yang berbahaya. Oleh itu, selain menggalakkan penggunaan susu ibu, bayi juga diwajibkan untuk menerima vaksin. Ianya memberi manfaat yang besar bukan sahaja kepada bayi tetapi juga kepada komuniti secara amnya.

Ibu juga akan mendapat manfaat dalam proses menyusukan anak. Ia membantu penyembuhan dan pengecutan rahim ibu. Proses bersalin adalah proses yang menyebabkan trauma kepada otot-otot di dalam rahim ibu. Dengan menyusukan anak, hormon oxytocin dirembes untuk mempercepat proses penyembuhan otot di dalam rahim ibu. Selain itu, risiko ibu diserang kanser payu dara dan ovari juga dapat dikurangkan dengan menyusukan anak.

Penglihatan bayi amat terhad. Mereka hanya mampu melihat objek dengan jarak dekat. Bayi yang disusukan akan mengenal wajah ibu mereka yang tidak lekang dari pandangan. Ia membentuk kemesraan atau ‘bonding’ yang amat penting dalam hubungan ibu dan anak.

Mana-mana ibu yang pernah melalui pengalaman menyusukan anak sendiri secara terus pasti tidak akan melupakan kenangan indah merenung wajah bayi yang comel sambil mendakapnya rapat. Ini tidak dapat digantikan dengan penyusuan menggunakan botol samada dengan susu formula mahupun susu perahan ibu sendiri.

Kajian terbaru menunjukkan ibu yang menyusu badan mempunyai perubahan hormon serta rangsangan otak terutamanya bahagian ‘amygdala’ yang terlibat membuahkan perasaan kasih sayang serta ‘protective instinct’ ibu terhadap bayinya. Para saintis juga mendapati ibu yang menyusu bayinya sendiri mempunyai kepekaan luar biasa terhadap tangisan bayi, lebih daripada ibu yang tidak menyusu badan.

Perubahan hormon dan rangsangan otak ini turut membantu emosi ibu yang baru bersalin, serta mengurangkan risiko ‘postnatal depression.’

MasyaAllah, hebatnya kuasa dan kasih sayang Allah SWT kepada hambanya.

Susu ibu sentiasa tersedia tidak kira tempat dan waktu. Ia juga percuma.
Ini perlu diambilkira dalam meniti kehidupan masakini yang mencabar dari segi ekonomi, dan pastinya membantu memantapkan kewangan keluarga.

Secara konklusinya, setiap ibu amat digalakkan menyusukan anak. Memandangkan hari ini bilangan ibu yang bekerja semakin ramai menyebabkan mereka tidak semua menyusukan anak sehingga umur yang sepatutnya.

Usaha-usaha memperjuang polisi yang memudahkan ibu menyusukan anak di tempat tertentu seperti pejabat dan kompleks-kompleks awam perlu bermula dengan kesedaran dan kefahaman yang jitu mengenai kepentingan susu ibu oleh setiap lapisan masyarakat.

Akan tetapi keterujaan dan kesungguhan para ibu muda masakini dalam penyusuan susu ibu perlu dipandu batasan tata susila sebagai seorang wanita yang secara semulajadi dihiasi sifat malu, serta dipimpin kesedaran agama terutamanya yang beragama Islam. Hatta, para alim juga sudah menasihati akan aspek penjagaan aurat serta pengambilan gambar untuk tontonan umum di media sosial, untuk menjaga kehormatan kaum wanita itu sendiri.

Semoga perkongsian ini membantu usaha kita menuju Malaysia sejahtera.


 

Artikel ini dihasilkan oleh negarawan muda, Ariff Solihin, pelajar perubatan di Jordan yang bakal menamatkan pelajarannya pada tahun hadapan dan disunting oleh pakar obstetrik yang terus istiqamah dengan PAS.