PAS Kescam Tindakan Korea Utara

Kenyataan Media 
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan tidak beretika dan di luar dari kaedah diplomatik antarabangsa yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan Korea Utara dengan menahan kakitangan Kedutaan Malaysia yang bertugas di Korea Utara pada masa ini. Kami percaya bahawa langkah keras berkenaan diambil oleh pihak Korea Utara adalah untuk memberikan tekanan kepada Malaysia dalam siasatan pembunuhan tragis rakyat mereka baru-baru ini. Tindakan Korea Utara itu juga adalah bercanggah dengan norma diplomatik yang diterima di peringkat antarabangsa. 

Sehubungan dengan itu, PAS menyokong langkah tegas yang diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam menangani isu yang berlarutan dengan pihak kerajaan Korea Utara.

Keutamaan pada peringkat ini ialah untuk memastikan keselamatan pegawai kedutaan Malaysia dan semua rakyat warganegara Malaysia yang berada di Korea Utara pada waktu ini. Usul tergempar perlu segera dibawa di Dewan Rakyat sebagai langkah seterusnya supaya suara rakyat menjadi satu dalam isu ini.

PAS menggesa supaya penyelesaian secara damai diusahakan dengan sedaya mungkin, untuk mengelakkan isu ini menjadi semakin parah dan di luar kawalan.

"Inilah Penyelesaian Kita"

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

8 Jamadil Akhir 1438H/ 7 Mac 2017