Pasca Multaqa’ Azhar: PAS bergabung UMNO

Pelbagai jangkaan dan polemik timbul seusai Multaqa Serantau Alumni al Azhar pada 18 Disember baru baru ini. PAS kelihatan amat dekat dengan UMNO kali ini setelah peristiwa DAP berkonfrontasi secara besar besaran dengan PAS hingga menatijahkan Pakatan Rakyat yang pada mulanya dirintis PAS hancur berkecai.

Namun, saya teramat optimis bahawa kali ini PAS bukan untuk bergabung atau memberi nafas baru kepada UMNO sekaligus menjadi talian hayat tambahan buat mereka, sesekali tidak. Kerana PAS cukup berpengalaman dalam arena politik. Bahkan ia juga adalah antara parti politik yang paling lama bertahan dengan al Quran dan Sunnah menjadi perlembagaannya.

PAS pernah berada dalam blok kerajaan. PAS pernah berada dalam blok pembangkang sebanyak dua kali. Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Penafian untuk bersama dengan UMNO juga boleh dilihat melalui kenyataan tegas dan nyata daripada kesemua pimpinan. Tidak berselindung. Perkara sebegini kita mesti nilai dengan penuh adil tanpa persepsi berdasarkan jangkaan dan sangkaan. Kita perlukan fakta dan bukan serkap jarang.

Apa yang saya nampak tendensi PAS mendekati UMNO kali ini adalah untuk menghulurkan tangan kepada ahli dan pemimpin mereka supaya datang bersama dalam bahtera PAS. Tinggalkan kapal UMNO yang semakin karam. Hal ini sebenarnya yang paling digeruni musuh politik PAS. Umumnya tahu, alternatif paling besar buat masyarakat Melayu Islam selain UMNO ialah PAS. Peratusan pengaruh PAS dalam kelompok ini adalah ‘extremely undeniable’ dan sangat dominan. Jauh lebih besar berbanding pengaruh PKR, PAN dan DAP. Realitinya juga, tidak semua orang UMNO jahat. Ada antara mereka saudara mara kita, jiran bersebelahan dengan rumah kita, majikan kita dan rakan rakan kita.

Dalam pertembungan dengan lawan, jalan kemenangan yang manakah lebih gemilang? Menghancurkan musuh sehingga menjadi abu dan berkecai semuanya? Atau mengalahkan musuh dengan menukarkan pengikut musuh kepada ideologi kita secara besar-besaran tanpa berlaku konfrontasi secara berhadapan sebagaimana Rasulullah saw lakukan ketika Fathul Makkah. Berbondong-bondong orang bukan Islam masuk Islam tanpa pertumpahan darah.

Tambahan, pengamalan politik rasis yang lapuk, budaya korupsi melampau, skandal ketirisan wang dan salahguna kuasa pemimpin atasan adalah antara sebab lain kenapa UMNO mesti ditolak. Selain itu, manifesto manifesto dan janji manis BN juga nampaknya tidak bersambut dan tertunai sebaik sahaja mereka menang PRU baru baru ini. Rakyat melalui putaran yang sama. Ditipu buat ke sekian kalinya. Bahkan, praktikaliti kerajaan kali ini amat bertingkah dengan taburan manifesto yang mereka laungkan sebelum menang PRU. Perlaksanaan GST, Perjanjian TPPA, kadar sara hidup meningkat tinggi, kadar tol makin bertambah, harga kereta semakin mahal, tambang pengangkutan awang juga turut terkesan dan fenomena kejatuhan nilai matawang RM juga banyak memberikan mileage panjang buat parti politik pembangkang dan memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat. Baik golongan pertengahan, anak muda, mahasiswa di dalam dan di luar negara apatah lagi golongan berpendapatan rendah yang di bawah kategori miskin.

Tiada alasan kali ini untuk PAS beri nafas baru kepada UMNO.

Lagipun, jika diteliti dalam ucapan Sheikh Abdul Hadi Awang yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia di multaqa anjuran Alumni al Azhar baru baru ini pun kita dapat lihat dari satu sisi sebagai satu ucapan teguran dan saranan secara berhadapan daripada PAS kepada pemimpin negara, ulama’, hakim-hakim dan kakitangan kerajaan lain untuk kembali kepada Islam. PAS menawarkan pakej solusi kepada setiap masalah yang timbul berasaskan Islam.

PAS juga bersedia bersama UMNO jika UMNO memilih untuk kembali kepada Islam. Bersama ada banyak cara. Antaranya, pilihan pertama adalah PAS masuk UMNO atau pilihan kedua orang UMNO secara tidak langsung berbondong-bondong masuk PAS. Senario landskap politik hari ini lebih memaksa untuk senario kedua kerana, PAS dilihat sudah cukup kuat dengan tenaga akar umbi yang cukup padu dan setia serta pimpinan yang teramat tersusun kali ini. Manakala, UMNO pula sebaliknya. Nyawanya seperti di hujung tanduk.

Selain itu, kelompok ‘third force’ yang lebih suka untuk berada di atas pagar merupakan kelompok majoriti dan paling ramai.

Kumpulan ini kita perlu menangi hati mereka dengan langkah politik yang jujur, efisien dan akauntabiliti.

Tempoh hari ada saya kedepankan satu tulisan. “Lanun kalau cuba untuk meniru gerak geri, mendekati Imam dan tingkah laku Imam, bermakna Lanun itu cuba untuk jadi kawan Imam. Bukan Imam itu yang terhegeh hegeh mahu jadi kawan Lanun. Sayang, bila ada orang yang mahu tangkap Imam kerana didakwa cuba untuk jadi Lanun. Imam tak bersalah. Imam dari dahulu lagi tetap istiqamah dengan jalannya.” Ini kita kena faham.

Di salam sesebuah perperangan biasanya yang kalah jadi abu yang menang jadi arang. Kedua dua belah pihak mengalami kerugian besar. Ianya satu langkah yang silap buat kebanyakan blok pembangkang di negara negara luar yang memilih pendekatan yang radikal seperti Mesir, Syria, Libya dan Thailand. Akhirnya, kelompok yang menggantikan rejim asal adalah proksi yang datang daripada akar yang sama lantas terus melakukan kebejatan yang sama.

Akhirnya, rakyat juga yang menjadi mangsa.Lihat sahaja apa yang berlaku di Mesir dan Syria. Rejim Mubarak diganti dengan puak As Sisi. Syria pula umpama padang jarak padang tekukur, saksi kepada perebutan dan medan perperangan antara kuasa besar. Belah sini melancarkan roket atas nama memerangi rejim zalim Bashar al Assad, belah sana menghala muncung senapang ke arah Syria atas nama perangi ISIS dan isu sektarianisme Sunni-Syiah yang tidak berkesudahan.

PAS memilih jalan politik matang, hujah dan damai. Dalam istilah Islamnya, dikenali sebagai pendekatan Muwajhah Silmiyyah. Pendekatan sebegini adalah satu kaedah ijtihad yang tidak asing lagi dalam kalangan agamawan dan ulama’ terutamanya. Sebagaimana Sheikh Ramadhan al Bouti yang memilih untuk berdamai dengan rejim Bashar kerana melihat maslahat yang lebih besar akhirnya membuahkan pelbagai hasil dan kejayaan kepada Islam di sana. Ulama’ ulama’ tidak disekat dan ramai yang dahulunya dibuang kerakyatan dipanggil semula untuk menetap di Syria. Dakwah Islam melebar luas.

Badiu’zzaman Said Nursi pula apabila diajak oleh rakan rakannya yang radikal di Turki hampir satu abad yang lalu untuk mengangkat senjata berhadapan dengan puak Kemalis Attarturk, beliau menolak dengan mengatakan, “Adakah kamu sedang meminta aku untuk memerangi anak cucu pahlawan Islam yang dahulunya dikenali sebagai tentera sebaik-baik tentera dan rakyat sebaik-baik rakyat?” Lalu, sosok ulama’ berbangsa Kurdis itu memilih jalan damai. Tidak berhenti berdakwah dan menyatakan kebenaran dan tidak sesekali melancarkan gerakan gerila seperti rakannya yang akhirnya mencetuskan pembunuhan sesama Muslim.

Kerana, permusuhan dan perpecahan dalam kalangan orang Islam hanya akan merugikan umat itu sendiri. Sebagaimana yang pernah berlaku di Afghanistan dan Iraq.

Akhir sekali, melalui lidah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga sempat menegur kelompok yang dilihat sering mengampu pemimpin walaupun pemimpin tersebut buat salah dengan menyifatkan perbuatan tersebut adalah satu pengkhianatan terbesar kepada negara, bangsa dan agama. Beliau turut menukilkan kata-kata Sayyidina Abu Bakar r.a selepas dipilih sebagai khalifah umat Islam yang pertama sebaik sahaja kewafatan Rasulullah saw di Bani Thaqifah.

Kita mesti buat penilaian berasaskan idea dan hujah. Bukan sangkaan dan maklumat atas angin yang boleh jadi fitnah dan mengandungi tokok tambah.

Saya teramat yakin dengan pendekatan PAS untuk bekerjasama dengan mana mana pihak demi kepentingan agama dan negara dilihat sebagai satu pendekatan yang amat realistik dan relevan. Saya juga cukup optimistik bahawa, PAS akan memenangi hati rakyat dengan nilai Islam yang ditawarkan.

“Great mind discuss ideas. Average mind discuss events. Small mind discuss people and noob minds discuss clothes colour.”

Tuan Badiu’zzaman Tuan Halizan