Rakyat Malaysia Sewajarnya Menikmati Harga Minyak Yang Lebih Murah

Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Harga minyak mentah dunia telah turun secara drastik dari USD 110 setong pada Jun 2014 dan hari ini terus menyusut ke paras sehingga di bawah USD 28 setong. Ini adalah satu penurunan yang amat signifikan dan cukup dirasai oleh industri minyak dan gas kini.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang bertanya kepada saya tentang isu kejatuhan harga minyak sedunia ini. Ada yang bertanya bagaimana industri minyak ingin menangani isu ini? Ada yang bertanya sama ada harga minyak di Malaysia sepatutnya lebih rendah? Dan juga pertanyaan-pertanyaan lain.

Sepertimana yang telah saya tulis sebelum ini, ini adalah masa sukar bagi industri minyak dan gas. Semua syarikat kini terpaksa membuat penyelarasan dengan pelbagai inisiatif pengurangan kos, pengurangan pekerja, mengurangkan pakej gaji, sebahagiannya meniadakan bonus, membatalkan atau menangguhkan projek dan pelbagai lagi tindakan drastik yang terpaksa dilakukan.

Bacaan menarik:
1. https://loanstreet.com.my/learning-ce…/oil-price-drop-theory
2. http://www.vox.com/20…/1/…/10755754/crude-oil-prices-falling
3. http://gstmalaysiainfo.com/kenapa-harga-runcit-produk-petr…/

Eksport minyak Malaysia terdiri daripada 2 komponen yang utama iaitu minyak mentah dan gas asli cecair. Semenjak tahun 2011, Malaysia kekal menjadi pengeksport bersih gas asli cecair, namun sebenarnya telah menjadi pengimport bersih minyak mentah. Walaubagaimanapun, Malaysia masih boleh dikatakan sebagai pengeksport bersih tenaga minyak dan gas sekiranya turut mengambilkira gas asli cecair.

Negara pengeksport minyak bersih akan mendapat keuntungan apabila harga minyak meningkat, sebaliknya, harga minyak yang rendah akan mempengaruhi kerajaan tersebut. Disebabkan sebahagian faktor inilah, maka dalam masa terdekat kerajaan terpaksa membuat pengubahsuaian bajet disebabkan kerana Bajet 2016 adalah berdasarkan perkiraan harga minyak Brent Crude pada USD 48 setong, iaitu USD 20 lebih tinggi dari harga hari ini.

Atas segalanya, dengan harga minyak mentah yang rendah kini dan juga penurunan dalam kos produk bertapis berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) (kos produk yang digunakan oleh kerajaan untuk pengiraan harga runcit yang ditentukan oleh sistem apungan terkawal (managed float system) berdasarkan Automatic Pricing Mechanism (APM)), sewajarnya pengguna dan rakyat Malaysia menikmati harga runcit minyak yang lebih rendah daripada yang ada kini.

Selain itu, harga runcit minyak ini juga wajar diturunkan kerana kebergantungan sumber pendapatan kerajaan kepada minyak telah dikurangkan dengan pengenalan 6% cukai GST, penghapusan subsidi minyak dan lain-lain. Tahun 2016 ini, hanya 14% (berbanding 20% pada 2015 dan setinggi 40% sebelumnya) daripada hasil kerajaan adalah dari minyak dan gas.

Dengan adanya sumber pendapatan tambahan seperti GST dll seperti disebut di atas dan melalui mekanisme harga baru, sewajarnya kerajaan menurunkan lagi harga runcit minyak dan sekaligus mengurangkan bebanan rakyat. Ini juga mampu mempengaruhi penurunan harga barangan dan perkhidmatan yang lain.

Selain itu, kerajaan juga hendaklah menangani masalah kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat. Ini kerana dengan nilai matawang ringgit yang rendah, kerajaan terpaksa menetapkan harga petrol dan diesel pada harga yang lebih tinggi dari yang sepatutnya. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat marhaen yang kini sudah sedia terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, inflasi yang meningkat dan pasaran kerjaya yang semakin sukar.

Sama-sama kita doakan semoga suasana yang tidak menentu ini akan dapat kita harungi dan Allah SWT akan mempermudahkan segala urusan kita. Rabbi yassir wa la tu’assir Ya Kariim.


Ir Muhtar Suhaili As-Sarawaki adalah seorang aktivis PAS dan juga merupakan Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia.