Sambutan Tahun Baru Yang Syari’e

Alhamdulillah. Tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program Charity Fun Ride 2016 dan Kuliah Dhuha bersama Ustaz Azhar Idrus. Syabas kepada semua khususnya Dewan Pemuda PAS Selangor (Ketua Pemuda: Ustaz Syarhan Humaizi Halim), Dewan Pemuda PAS Gombak (Ketua Pemuda: Ustaz Dr. Md Noor Hussin) dan semua penganjur bersama PAS Negeri Selangor (Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, Timbalan Pesuruhjaya 1 hadir mewakili Pesuruhjaya Datuk Ar. Iskandar A Samad), Department of Arts, Culture & Sports (DACS) Selangor (Pengarah: Sdr Muhammad Fadzli Abu Bakar), Alternative Cycling Club (ACC) Selangor (Ketua: Sdr Mohd Azlan Omar), Jabatan AMAL Gombak, Nisa’ Gombak dll.

Saya diminta memberi ucapan alu-aluan pagi tadi mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia (Ketua Pemuda Ustaz Nik Mohamad Abduh dan Timbalan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi tidak dapat hadir). Dalam ucapan ringkas tersebut setelah mengucapkan tahniah kepada penganjur dan terima kasih kepada Ustaz Azhar Idrus, saya menyebut pentingnya program-program alternatif sebegini diperbanyakkan ke arah memandaikan masyarakat dengan majlis-majlis ilmu, program-program pemikir, slot-slot riadhah syari’e dan aktiviti-aktiviti ukhuwah dengan batasan syariat terjaga.

Jika setiap kali sambutan Tahun Baru dan Hari Merdeka selalunya diisi dengan pelbagai program yang fokusnya berhibur semata-mata dengan konsert-konsert penuh hedonisme, majlis-majlis nyanyian dan tarian di kelab-kelab eksklusif serta program-program melibatkan pergaulan bebas dan babas, maka pelbagai program-program alternatif dengan matlamat berhibur yang terkawal sesuai dengan syariat sambil mendapat pengisian rohani dan pencerahan intelek yang semakin banyak dilaksanakan mutakhir ini wajar untuk dikembangkan.

Program bersama Ustaz Azhar Idrus malam tadi di Shah Alam (yang menarik puluhan ribu hadirin), Streets Dakwah, Forum-forum Membina Malaysia Sejahtera dan pelbagai lagi program yang diadakan malam tadi dan awal pagi ini di seluruh negara adalah method yang baik di awal sambutan awal tahun (telah dimulai 6 tahun yang lalu sejak 2010). Semoga semua penganjur dan hadirin yang turut serta diganjari kebaikan yang melimpah dan rahmat dari Allah Azza Wajalla.

Berhibur tiada salahnya,
Kerana hiburan itu indah,
Hanya pabila salah memilihnya,
Membuat kita jadi bersalah.
Siiru ‘ala barakatillah. Teruskan perjuangan!

Muhtar Suhaili As-Sarawaki