Satu Langkah Terkehadapan Ahli Harakah

Umum mengetahui bahawa terdapat dua sektor yang memainkan peranan penting untuk memacu pertumbuhan negara – sektor swasta dan sektor awam. Sektor swasta merujuk kepada salah satu komponen kuasa ekonomi negara, yang turut dikenali sebagai Sektor Rakyat.

Ia dipenuhi oleh mereka yang bertindak selaku ejen penyebaran dan pemangkin kekayaan negara, yang berasaskan kekayaan individu. Sektor ini hanya dikawal berasaskan undang-undang kerajaan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai sebarang struktur organisasi yang tetap.

Berbeza dengan sektor swasta, sektor awam merupakan sektor pemudah cara ekonomi yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan pusat. Ahli-ahli yang memenuhi sektor ini adalah dalam kalangan mereka yang berikrar untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat seperti para pendidik, ahli kesihatan dan ahli teknologi dan sains kejuruteraan serta pakar kewangan. Mereka bekerja di bawah naungan Ketua Setiausaha Negara – yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk melaporkan perkembangan sektor tersebut kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Penulisan kali ini akan merungkai ruang yang cukup besar untuk agenda dakwah dan siasah di dalam sektor swasta. Semoga ia boleh memberikan manfaat kepada rakan-rakan.

Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton pernah menyatakan di dalam satu ucapan beliau bahawa ‘Era kerajaan besar sudah tiada’ (sila rujuk State Union Adress, 1996). Apa yang dimaksudakan beliau adalah dunia hari ini semakin dikuasai oleh sektor-sektor korporat. Sektor ini banyak mempengaruhi polisi-polisi umum dan pemikiran rakyat secara keseluruhan.

Begitu juga di dalam dunia politik. Undang-undang pilihanraya Amerika Syarikat membenarkan seseorang calon untuk mendapatkan sumbangan daripada pihak korporat dalam usaha untuk mencukupkan dana. Kuasa lobi-melobi korporat akhirnya menyebabkan calon tersebut terpaksa akur kepada gesaan perundangan atau keputusan sektor korporat dalam usaha mendapatkan bantuan kewangan yang diperlukan.

Pelbagai spekulasi telah dinyatakan berkenaan hal ini. Penulis yakin bahawa polisi luar Amerika Syarikat yang mempertahankan kewujudan negara Israel, polisi alam sekitar yang lebih baik yang ditentang oleh ahli-ahli Jawatankuasa Senat Sains & Teknologi Amerika Syarikat, polisi penjagaan kesihatan yang berasaskan sumber insurans, dan polisi perkembangan teknologi ketenteraan, semuanya berpunca daripada percaturan kuasa industri yang bersikap rakus.

Hasilnya adalah sebuah pengisytiharan polisi yang dilihat baik, hakikatnya memakan dan menekan rakyat mereka sendiri. Lebih teruk, menekan rakyat negara lain melalui penjajahan ekonomi.
Fungsi institusi politik dan kerajaan untuk benar-benar menjaga kebajikan rakyat mula menjadi suatu gambaran konsep semata-mata. Ini adalah sikap manusia yang sentiasa dibuktikan oleh kisah-kisah lampau zaman berzaman – iaitu mereka yang sentiasa menginginkan kuasa, penguasaan ekonomi dan pengaruh tanpa berpegang kepada landasan atau panduan yang ditetapkan oleh Ilahi.

Di sinilah Islam menyatakan solusi yang dibawa. Islam menegaskan bahawa ruang perniagaan adalah punca sebaik-baik rezeki. Namun apabila sistem pemerintahan Islam tertegak, kuasa melobi ahli perniagaan sama sekali tidak boleh menembusi kuasa keadilan yang ada pada pemerintah yang benar-benar mematuhi akan syariat Islam.

Suatu kisah kecil pada era sahabat adalah apabila Khalifah Umar memarahi anaknya yang dilihat mempunyai unta yang lebih berisi daripada unta-unta yang lain. Beliau risau kerana terdapat kemungkinan, disebabkan kedudukannya sebagai seorang penguasa, menyebabkan ramai yang lain memberikan kawasan rumput yang lapang dan hijau kepada unta milik anaknya, Abdullah Ibn Umar.

Itulah contoh seorang penguasa yang menjaga kebajikan rakyatnya dan memastikan keadilan ekonomi terus tertegak dengan baik. (Sila rujuk Manaaqib Umar, Ibn Al-Jawzi)
Bagaimana penguasaan di dalam sektor ini akan mampu melonjakkan momentum dakwah?

Pada era penyebaran Islam di Madinah, ramai dari kalangan para sahabat adalah peniaga-peniaga yang suka berjual-beli. Sifat yang dipamerkan mereka, bersama-sama dengan kejujuran dalam perniagaan telah menyebabkan masyarakat Madinah terpesona lalu tertarik dengan sistem perniagaan Islam, lantas mengurangkan pengaruh kaum Yahudi yang telah mendominasi ruang perniagaan bertahun lamanya. Bukankah perkara yang sama juga turut disebut-sebut di dalam kisah perkembangan Islam di Melaka?

Di dalam konteks semasa, penulis melihat tidak sedikit dalam kalangan ahli harakah yang berkecimpung di dalam dunia perniagaan. Konvensyen Usahawan Haraki (Kousaha) di bawah naungan Lajnah Ekonomi baru-baru ini telah mula menunjukkan momentum dan penegasan bahawa Pas senantiasa cuba untuk meningkatkan taraf hidup sosio ekonomi ahli-ahli pendokongnya.
Adalah diharapkan bahawa industri perniagaan para pendokong akan mampu berkembang daripada satu tahap ke satu tahap yang seterusnya. Apa yang diinginkan adalah para usahawan mampu untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan produk-produk keluaran mereka.

Adalah diharapkan juga bahawa para peniaga akan meletakkan fokus yang tinggi terhadap kepentingan teknologi dalam dunia perniagaan sehingga mampu meningkatkan produktiviti berskala besar dan bersifat inovasi.

Ahli pendokong juga seharusnya meletakkan keutamaan kepada industri servis seperti yang bertapak di Singapura – dan ini memerlukan penegasan kepada agenda pendidikan yang inovasi. Kuasa industri servis seperti syarikat konsultasi perakaunan, kejuruteraan, hiburan, kewangan dan kesihatan swasta telah berkembang dengan pesat lantas meningkatkan KDNK negara tersebut dengan begitu tinggi, jauh meninggalkan negara Malaysia.

Contohnya, industri kewangan seperti sukuk, kewangan Islam dan industri pemakanan halal telah pun menarik pulangan berbillion ringgit dalam masa yang begitu singkat. Ini adalah ruang pembaharuan yang mesti dikecapi oleh ahli-ahli gerakan dalam usaha untuk meningkatkan pengaruh dan standard perjuangan ke fasa seterusnya.

Dana terkumpul bukan sahaja mampu untuk disumbangkan kembali kepada perjuangan gerakan, namun jika urus niaga tersebut dijalankan secara adil, maka sudah pasti pembahagian harta negara akan meningkat dan tersebar secara saksama.
Ini akan memberikan ruang kepada ahli perniagaan lain untuk turut berkecimpung sama di dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Budaya Islam yang menegaskan konsep menuntut ilmu dan bersifat itqan (cemerlang), akan memastikan ahli gerakan untuk senantiasa berada di dalam dimensi Lautan Biru – iaitu ruang perniagaan yang belum diceburi, sebuah pasaran yang kini dikuasai penuh oleh syarikat-syarikat asing.

Adapun bersifat zuhud itu penting, namun usaha untuk menjadi kaya, lalu menggunakan sumber tersebut ke arah perjuangan Islam adalah jauh lebih baik. Seperti Abdurrahman Bin Auf yang menjadi kaya, akhirnya tidak terpengaruh dan tenggelam dengan kekayaan tersebut, malah terus digunakan untuk tujuan kebajikan.

Teruslah kita mengambil contoh daripada para sahabat yang awal. Sayyidina Abu Bakr, Umar Al-Khattab dan Uthman Affan merupakan ahli perniagaan yang baik. Abu Bakar sibuk berdagang ke Syam dan Yaman dan Umar pula, terus ke Rom dan Parsi untuk berniaga. Abu Bakar terus cemerlang. Umar pula gagal didalam perniagaannya awalnya (Sila rujuk Hayqal 1944, Tabqat Ibn Saad – Umar Al-Khattab) – namun ia tetap contoh yang baik untuk diteladani.

Semoga Berjaya.


 

Abu Ubaidah merupakan Negarawan Muda yang sedang melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Beliau dan rakan-rakan mengharapkan masa depan Malaysia yang aman dan sejahtera bersama dengan PAS.