Scam dan Anda : Mengenal Pelaburan Scam

Pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap secara umumnya adalah haram (pengecualian kepada aset dengan akad jual beli bertangguh atau sewa, seperti yang banyak digunakan dalam sukuk).

Namakanlah keuntungan tetap itu hibah atau nama-nama Islamik lain, tetapi andai jumlah pendapatan itu tetap dan dijamin pembayarannya, maka ianya haram. Hibah sifatnya tidak boleh dijamin jumlah dan bukan hak penerima.

Ada pula skim yang operasinya meragukan. Kononnya pemberi duit bukanlah melabur, tetapi hanya membeli beberapa lot barangan tetapi ada pihak ketiga akan memasarkannya. Sebab itu boleh ada pendapatan tetap daripada keuntungan jualan produk.

Persoalannya (jika benar wujud barangan), bagaimana pihak ketiga itu boleh memastikan keuntungan hasil jualan barangan tersebut yang kemudiannya akan disalurkan kembali kepada pemberi duit dengan jumlah yang tetap? Ini bukan perkongsian risiko yang adil. Katakan, permintaan terhadap barang itu (jika benar wujud) menurun, sudah pasti keuntungan jualan akan menurun, jadi tidak adil untuk penjual untuk memberikan jumlah tetap kepada pemberi duit? Dalam Islam, keadilan adalah berkongsi peratus keuntungan (80-20 sebagai contoh), bukannya menjamin keuntungan satu pihak. Jika untung bersama, rugi pun bersama.

Kedua, biasanya pengeluar duit mungkin tidak melihat sendiri barangan yang dibelinya itu. Tahu-tahu ada duit masuk hujung bulan hasil ‘jualan’ barang oleh pihak ketiga. Tak teringin ke tahu ke.mana duit kita tu betul-betul disalurkan?

Kepada kawan-kawan sekalian. Kita semua ingin cara paling mudah untuk.menggandakan pendapatan. Tetapi berhati-hatilah. Awasi tanda-tanda ini yang ada dalam skim penipuan piramid:-

1. Keuntungan luar biasa tanpa risiko. Dalam dunia realiti, ‘higher expected return’ akan bersahabat dengan ‘high risk’.

2. Operasi perniagaan aktif mencari lebih pelabur modal berbanding memasarkan produk mereka. Sebuah perniagaan yang bagus hanya memerlukan beberapa kali sahaja suntikan modal yang akan berkembang selaras dengan perkembangan OPERASI perniagaan, bukan pertambahan PELABUR.

3. Produk yang tiada ciri istimewa, tetapi kononnya diletakkan harga premium. Produk seumpamanya boleh didapati dengan banyak di pasaran. Produk tiada pula ciri bombastik melainkan harganya yang BOMBASTIK.

4. Pendapatan lumayan (annual return lebih 50-70%) TANPA USAHA dan RISIKO. Dalam dunia realiti, passive income boleh capai sekitar 4%-6% annual return sahaja. Kalau nak bersenang lenang, nantilah di syurga.

5. Jika nak tahu maklumat lanjut skim, kena sertai dulu.

6. Cara bisnes yang terlalu kompleks sehingga akhirnya pelabur hanya nak fokus pada pulangan sahaja. JANGAN SESEKALI MELETAKKAN DUIT DALAM PERNIAGAAN YANG TIDAK KITA FAHAM.


Penulis, Muhammad Huzaifah, adalah Juruanalisa Kanan Pelaburan di sebuah institusi pelaburan Malaysia.