TPPA Ancam Ekonomi Bumiputera

1. DPPM agak kabur bagaimana keadaan hala tuju ekonomi kumpulan bumiputera jika kerajaan bersetuju dengan TPPA. Tiada satu pun syor, kajian, dasar mahu pun pembentangan kertas putih oleh kerajaan tentang bagaimana survival ekonomi bumiputera yang dikala ini suram dan tidak memberangsangkan untuk mengharungi TPPA apabila dipersetujui. Lebih menggusarkan lagi ialah bagaimana survival tersebut selepas TPPA dilaksanakan sepenuhnya dua tahun kemudian.

2. Sejak di lancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan sosio ekonomi antara kaum di dalam negara terutamanya untuk membantu kumpulan bumiputera, sasaran 30% pegangan ekuiti bumiputera menjelang tahun 1990 gagal dicapai. Hanya 19.3% sahaja pegangan ekuiti bumiputera pada tahun 1990, jauh tersasar dari sasaran asal. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan dalam menetapkan dasar, hala tuju serta polisi ekonomi yang jitu untuk kumpulan bumiputera ketika itu.

3. Angka terbaru menunjukkan pada tahun 2011, kumpulan bumiputera memiliki ekuiti sebanyak 23.5%, masih jauh lagi ketinggalan dari sasaran yang ditetapkan pada tahun 1990 sebanyak 30%. Persoalan yang timbul ialah bagaimana survival yang sedikit tersebut dapat bertahan dan maju ketika TPPA dilaksanakan sedangkan didalam persaingan ekonomi yang ada didalam negara sekarang pun kumpulan bumiputera masih lagi ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

4. TPPA secara umumnya bererti membuka pasaran secara meluas kepada negara-negara anggota terutamanya Amerika Syarikat yang di ketahui mempunyai pelbagai konglomerat besar dunia didalam pelbagai bidang. Dengan kapasiti industri kumpulan bumiputera yang ada sekarang, kekhuatiran kemampuan mereka untuk bersaing secara sihat dengan konglomerat multinational yang besar menjadi tanda tanya sedangkan di dalam negara sendiri sekarang keupayaan industri kumpulan bumiputera dan survival ekonominya jauh ketinggalan dari segenap aspek berbanding kaum-kaum lain.

5. Secara relatifnya industri kumpulan bumiputera kebanyakkannya terdiri daripada Industri Kecil Sederhana (IKS) dan Industri Desa. Daripada 800,000 yang dikategorikan sebagai IKS, hanya 200,000 terdiri daripada kumpulan bumiputera termasuk dari Sarawak dan Sabah. Daripada jumlah tersebut, 88% dikategorikan sebagai syarikat kecil dan mikro dengan anggaran pendapatan tahunan sebanyak RM 250,000 kebawah dan mempunyai kurang daripada 5 orang pekerja. Dengan majoriti industri kumpulan bumiputera di tahap sebegitu, keupayaan mereka untuk bersaing ditahap yang tinggi dan kompetitif sangat diragui dan boleh dikategorikan sebagai tidak bersedia untuk mengharungi persaingan global seperti TPPA apabila dilaksanakan kelak.

6. DPPM berpendapat dengan suasana ekonomi yang tidak kondusif serta tidak menentu sekarang, kumpulan industri bumiputera lebih dilihat tidak bersedia dan mampu untuk mengharungi keadaan dimana TPPA dilaksanakan sepenuhnya kelak. Kerajaan juga dilihat lebih kepada menerima TPPA daripada menyediakan industri-industri kumpulan bumiputera itu sendiri supaya mampu bersaing di arena global. Sepatutnya kerajaan perlu memastikan keadaan industri kumpulan bumiputera benar-benar mampu bersaing serta berdaya maju sebelum menerima mana-mana perjanjian seperti TPPA.

7. Seharusnya Kerajaan memperkemaskan lagi industri kumpulan bumiputera dalam segenap aspek sebelum membuka pasaran secara meluas. DPPM merasakan bahawa dengan tiada persiapan yang rapi, kemas serta tersusun tambahan pula jika kerajaan bersetuju dan menandatangani TPPA, tempoh dua tahun yang diberikan sebelum perlaksaan penuh TPPA dirasakan terlalu pendek sedangkan DEB yang dirancang untuk tempoh 20 tahun menemui kegagalan serta tidak mampu mencapai sasaran walaupun selepas lebih 10 tahun tamat tempoh perlaksaan DEB.

8. DPPM tidak mahu kegagalan dahulu berulang kembali didalam bentuk yang baru malah lebih buruk ianya didalam konteks yang besar iaitu kegagalan kerajaan mengurus serta menentukan dasar dan polisi ekonomi negara. Membuka pasaran seluas-luasnya tanpa persediaan yang secukupnya dikhuatiri akan membawa kegagalan yang mana impaknya akan mengambil masa yang lama untuk dipulihkan atau dibangunkan semula serta meletakkan Malaysia terkebelakang berbanding negara-negara membangun yang lain.


 

“Mempersiap Generasi Kemenangan”
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
MUHAMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).